Janganlah Kamu berbuat Kerusakan Di Muka Bumi Selepas Kamu Memperbaikinya..!!
Risalah dari Dr. Muhammad Badie’ Mursyid Am Ikhwan Muslimin
Dengan nama Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah saw beserta
keluarganya dan para sahabatnya serta orang-orang yang mengikuti
mereka hingga hari Kiamat, selanjutnya…
Sesungguhnya sangatlah perlu setiap insan yang berakal waras
(terutama orang-orang yang membawa risalah perubahan pada zaman kita
ini di manapun mereka berada) untuk berfikir dengan serius tentang
masa depan planet bumi yang menjadi tempat kita hidup ini.
Ia kini
dikelilingi oleh bencana yang melanda dari segenap penjuru yang
berpunca daripada perbuatan kita sendiri, baik secara langsung mahu pun
tidak langsung.
Bencana tersebut mampu mengancam kita dan
mengancam semua potensi serta kekayaan umat manusia, mulai dari
pencemaran alam hinggalah kepada masalah pemanasan global, dari ancaman
nuklear hingga penjajahan moden yang terkutuk dengan segala bentuk
permusuhan dan eksploitasinya; yang disasarkan kepada masyarakat yang
lemah dan negara-negara yang mundur untuk menghisap darah, mencuri
sumber alam mereka dan menguasai keputusan dalam menentukan hala tuju
negara mereka.
Ini ditambah pula dengan
keruntuhan aspek-aspek nilai, kecenderungan kepada materialistik dan
menuruti hawa nafsu, yang mengakibatkan kepada keruntuhan akhlak,
pelanggaran kehormatan diri, kezaliman ke atas hak yang sah dan lupa
kepada hari pembalasan.
Beriman kepada Hari Pembalasan serta takutkan siksaan merupakan benteng yang dapat mengawal seseorang dari melakukan kezaliman terhadap manusia dan mengurangkan keangkuhan para pemegang kuasa dalam menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka.
Keadaan dunia yang sedang
diancam bahaya ini sepatutnya membangkitkan suatu kesedaran di
kalangan para pemimpin dan ahli fikir dari pelbagai keturunan, warna
kulit dan agama, untuk mengambil suatu pendirian yang tegas, menyeru
dengan suara yang lantang agar dihentikan segala bentuk pencerobohan,
kekejaman, kediktatoran dan kerosakan. Hal ini tidak sukar dilakukan
kerana di sana terdapat pelbagai alat komunikasi yang moden serta
canggih.
Inilah kami menyeru mereka
Wahai para pemimpin dunia ..
Wahai para cendekiawan dunia ..
Wahai para pemegang amanah hak-hak manusia…
Seluruh manusia ..
Bersatulah dan bantu-membantulah antara satu sama lain dan
gabungkanlah daya usaha kamu dalam berbagai-bagai pertubuhan
masyarakat (NGO) untuk menyelamatkan manusia dari apa yang sedang
menimpanya dan apa yang mengancam mereka jika situasi tetap seperti
yang ada pada hari ini..
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana
perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka
sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke
jalan yang benar)”. (Ar-Ruum:41)
Jika kita lontarkan pandangan secara menyeluruh terhadap
sebab-sebab utama suasana yang terjadi ini sangatlah banyak dan
pelbagai; kita dapati Allah telah menciptakan alam semesta sangat baik
sejak dari awal kejadiannya, dan telah dipersiapkan untuk manusia
sebelum diciptakan Adam dan Hawa, dan Allah menjadikan semua manusia
sebagai anak dari seorang ayah dan ibu, dan diberikan hak kepada
manusia yang di antara ciri kehidupannya ialah sebagai khalifah di
muka bumi dan bertanggung jawab untuk memakmurkannya ..
هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا
“ Dia telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya”. (Huud:61)
Di antara kemurahan Allah dan kebaikan-Nya kepada seluruh umat
manusia ialah Allah telah menciptakan bumi ini dalam dua hari dan
memberikan makanan di dalamnya dalam empat hari untuk siapa yang
memerlukannya. Ia bermaksud manusia sebenarnya berkongsi dalam semua
unsur kehidupan di dunia. Justeru adakah ada peliharaan untuk manusia
dari Tuhan mereka yang maha Pengasih yang lebih baik daripada ini?!
Dialah Allah SWT telah menyimpankan dan menyediakan kepada manusia
bahkan kepada seluruh hidupan elemen kehidupan dan mata pencariannya
masing-masing ..
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأَرْضِ إِلاَّ عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا
وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan
Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam
binatang itu dan tempat penyimpanannya. semuanya tertulis dalam kitab
yang nyata (Lauh Mahfuzh)”. (Huud:6)
Sebagai contoh adalah tersimpannya minyak sesuai dengan
keperluannya. Hasil minyak merupakan mukjizat Rabbani yang sangat
luar biasa, yang mampu tersimpan selama ratusan juta tahun di dalam
tanah. Lantas setelah matang fikiran manusia dan melalui perkembangan
teknologi dengan menemui pelbagai ciptaan baru yang akhirnya mampu
mencipta alat-alat untuk menggali tanah tersebut. Allah tetap
memberikan petunjuk sehingga mampu mengekploitasi ‘harta karun’ untuk
dimanfaatkan, dan ‘harta karun’ lainnya masih banyak, ia tetap ada dan
tersimpan hingga hari kiamat.
وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلاَّ عِنْدَنَا خَزَائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلاَّ بِقَدَرٍ مَعْلُومٍ
“Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami-lah
khazanahnya; dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan ukuran yang
tertentu”. (Al-Hijr:21)
Oleh kerana itu, apakah peranan manusia setelah melihat dan
menyaksikan semua kurnia Ilahi ini dan setelah disampaikan semua
seruan ini?
يَا أَيُّهَا الإنْسَانُ مَا غَرَّكَ بِرَبِّكَ الْكَرِيمِ
“Hai manusia, Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu yang Maha Pemurah”. (Al-Infithar:6)
Allah nyatakan dengan jelas bahawa nikmat yang telah dianugerahkan
ini telah berubah menjadi sebab kepada pertikaian, menyuburkan
kezaliman, peperangan dan kekejaman, sebagai usaha untuk menguasai
sumber-sumber minyak, dan menyalakan api peperangan sehingga
merosakkan tanam-tanaman dan ternakan, melakukan monopoli yang
menjijikkan terhadap harta dan yang lainnya ini dan
membahagi-bahagikannya melalui berbagai undang-undang dan persidangan
yang jahat, sepertimana mereka telah mengagih-agihkan tanah jajahan
kepada kuasa-kuasa yang berpengaruh di mana-mana negeri yang
dikuasainya.
Oleh itu pada persidangan ”Sykes-Picot”, dan juga diikuti
dengan perjanjian-perjanjian lainnya seperti perjanjian “Balfour” yang
membuka jalan kepada pendudukan haram ke atas bumi Palestin. Kita
melihat Congo sebahagiannya dijajah oleh Perancis, sebahagian lagi
adalah Belgium, dan yang ketiga adalah Portugal. Kita juga mendengar
tentang Somalia Itali, Somalia Inggeris , Somalia Perancis dan Somalia
Amerika.
Sementara itu, perang dingin dan perang panas untuk menguasai dan
menduduki sesuatu daerah demi memperluas pengaruh masih terus
berlangsung; Jika kita tidak berusaha menghentikan kerakusan ini, dan
menuntut pengharaman segala bentuk eksploitasi dan kolonialisme maka
kemungkinan kerakusan ini akan menelan seluruh potensi dan sumber
kekayaaan alam Justeru semua manusia yang berakal dan bijaksana
mestilah bangkit untuk menentang para pendokong kejahatan ini bagi
menyelamatkan kapal yang kita naikinya di alam semesta ini. Ini kerana
tujuan kita diciptakan adalah untuk bekerjasama bukan untuk
bersengketa dan bermusuh…
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
“Hai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang
laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa
dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal”. (Al-Hujurat:13)
Tugas kita adalah melakukan pengislahan dan bukan melakukan
kerosakan. Kita tidak boleh membiarkan orang yang melakukan kerosakan
kerana tindakan mereka boleh membahayakan semua orang.
Dari segi yang lain, kita lihat orang-orang yang merenungkan
ciptaan Allah akan mendapati secara jelas iaitu bagi mereka yang
memiliki mata yang tajam dan akal yang cerdas bahawa Allah telah
menciptakan keseimbangan dalam berbagai peranan kehidupan; ada peranan
untuk oksigen dan ada untuk nitrogen, kedua, adanya karbon dioksida
yang saling bertukar peranan antara tanaman dan haiwan, dengan manusia
yang bermanfaat, sebagaimana mereka juga saling bertukar manfaat satu
sama lain.
Begitu pula peranan yang seimbang kepada air seperti laut
dan darat, pemeluwapan dan awan, hujan dan sungai kemudian mengalir
ke laut dan ke darat lagi, dan dari peranan mineral dan garam dari
tanah ke tanah.
وَأَنۢبَتۡنَا فِيہَا مِن كُلِّ شَىۡءٍ۬ مَّوۡزُونٍ۬
“Dan Kami tumbuhkan padanya segala sesuatu menurut ukuran”. (Al-Hijr:19)
Lalu, apakah layak mereka menjadi manusia yang bodoh dan tidak
memahami hukum-hukum Allah di alam semesta ini kerana mereka sendiri
melanggarnya, merosak serta membantutkan pusingan kehidupan dan
selepas itu mengeluh tentang akibat yang ditanggung kerana perbuatan
tangannya sendiri?!
Antaranya ialah berlaku pencemaran alam yang berpunca daripada
kemajuan industri dan kegiatan ala mafia oleh pihak kapitalis. Mereka
saling bermuka-muka antara satu sama lain di dunia ini demi
kepentingan dan keuntungan dengan mengorbankan kesihatan manusia dan
hak asasi manusia; yang telah hancur dan luluh tanpa belas kasihan.
Contoh lain ialah berlaku pencemaran dalam pelbagai unsur kehidupan
seperti udara, air, tumbuhan, haiwan termasuk juga manusia iaitu
dengan menggunakan racun serangga sehingga sebahagian manusia yang
berisiko mengidap kanser. Begitu juga penggunaan baja yang tidak
selamat dan banyak lagi yang lainnya.
Kemudian setelah berleluasa
penyalahgunaan bahan tersebut akibat daripada kesilapan memahami hukum
alam, lalu terjadilah bencana penyakit kanser yang pada hakikatnya
adalah jenayah manusia terhadap manusia itu sendiri. Mesir merupakan
salah satu Negara yang paling teruk di dunia yang rakyatnya berisiko
terkena kanser.
Setelah itu semua, bagi mengatasi pelbagai sakit kronik yang
dialami yang telah mengakibatkan kerugian yang tidak ternilai dari
segi kemanusiaan dan kewangan, mereka cuba pula penanaman anggota dan
ubatan antibiotic.
Percubaan ini juga tidak menjamin kejayaan,
sebaliknya kerugian yang terpaksa ditanggung adalah lebih parah lagi.
Pendek kata, dalam apa jua keadaan manusia tetap menjadi mangsanya.
Contoh yang paling serius adalah pencemaran nuklier di mana telah
diadakan satu Persidangan Khas tentang isu ini di New York, AS
(walaupun AS adalah satu-satunya Negara yang pernah menggunakan
senjata ini dalam sejarah).
Kita berharap ini adalah langkah awal
untuk memandu usaha serius ini seumpama senjata yang mempunyai
serampang dua mata, iaitu mampu menjaga umat manusia dari bahaya
senjata yang mudah tersebar. Tetapi apabila pihak Zionis memberikan
tekanan pastilah akan menghalang usaha murni tersebut.
Terbukti mereka tidak hadir dan tidak ada komitmen untuk menghadiri
persidangan, malah mereka berusaha merubah agenda perbincangan kepada
soal keamanan bahan nukliar saja. Umat manusia tetap terdedah kepada
risiko yang dikuasai oleh tangan yang penuh dengan lumuran kejahatan,
kerusakan dan kedurjanaan, menaburkan kehancuran di muka bumi,
padahal Allah tidak menyukai kerusakan dan orang-orang yang melakukan
kerusakan.
Ada bahaya lain yang sewajarnya menjadi peringatan bagi siapa yang
memiliki akal, yang sebenarnya baru pada peringkat permulaan yang
ramai manusia tidak menyedari tentang kejahatan yang dilakukannya
kecuali setelah berlalu waktu yang lama; iaitu manipulasi proses
genetik dan penggunaan kejuruteraan genetik yang sangat berbahaya dan
jauh dari manfaat, di mana pengetahuan kita tentang hal ini pun masih
terbatas.
Rentetan daripada pengetahuan kita ini yang sangat terbatas yang
hampir kepada kejahilan telah mengakibatkan kepada musibah yang lebih
besar lagi. Justeru orang-orang yang memiliki kepakaran dalam bidang
ini perlu bersatu untuk menghentikan rancangan yang sia-sia ini. Kita
menanti sampai pengetahuan kita benar-benar mendalam, maka selepas itu
kita bergerak sesuai dengan ilmu pengetahuan, bukti klinikal dan
cahaya dari Allah SWT.
Begitu juga masalah gejala sosial yang melanda umat manusia
sebenarnya adalah hasil tangan manusia sejak permulaan hingga yang
terkini. Ia adalah musibah yang telah terjadi dan tiada berkesudahan.
Gejala social merupakan asas dari segala macam kerusakan dan
kebejatan. Benarlah setengah ungkapan:
“Sesungguhnya umat itu akan terus kekal kerana keutuhan akhlaknya. Jika lenyap akhlaknya maka hancurlah umat tersebut”.
Di antara bentuk kecelaruan terhadap pemikiran manusia ialah
apabila mereka berada di bawah telunjuk hawa nafsunya tanpa ada
kendali dari nilai-nilai agama samawi yang termaktub di dalam kitab
Taurat, Injil dan Al-Qur’an malahan tanpa ada pimpinan dari pemikiran
yang matang ..
Allah SWT telah menciptakan manusia laki-laki dan
perempuan, dan dari keduanya berkembang biak laki-laki mahupun wanita,
bahkan Allah menciptakan daripada keduanya saling berpasangan
sehingga dapat melakukan reproduksi dan kelangsungan hidup. Justeru
bagaimanakah manusia telah mencampur-adukkan gaya hidupnya dengan
kebodohan dan hanya menuruti hawa nafsu yang menyelewengkan dari jalan
yang benar. Lalu manusia telah menghancurkan fitrahnya yang asal
seperti yang pernah dilakukan oleh kaum nabi Luth.
مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ
“(Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu), yang belum pernah dikerjakan oleh seorangpun di dunia ini sebelummu?” (Al-A’raf:80)
إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِنْ دُونِ النِّسَاءِ بَلْ أَنْتُمْ قَوْمٌ مُسْرِفُونَ
“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu
(kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang
melampaui batas”. (Al-A’raf:81)
Biarpun telah membawa kehancuran fitrah manusia dan penyebaran
penyakit seperti yang dialami oleh umat terdahulu dengan sebab
kedurjanaan dan pelanggaran yang mereka lakukan mampu menghentikan
proses kelangsungan manusia sebagaimana yang telah Allah ciptakan,
namun mereka masih tetap tidak memiliki perasaan malu, malah kita
dapati ada di antara mereka yang menuntut hak mereka. Jadi pemikiran
apakah ini? Kebebasan apakah ini?!
Justeru, inilah Ikhwan Muslimin yang hanya memiliki secebis dari
cahaya Allah dengan membawa risalah Islam yang syumul. Mereka dan
semua Muslim di seluruh dunia bahkan seluruh pendokong perubahan yang
sedar tentang bahaya membiarkan potensi manusia yang dimanipulasi oleh
kepentingan dan hawa nafsu.
Mereka yakin bahawa Allah akan membela
dan menolong pendokong perubahan, kerana Allah mencintai orang-orang
yang berbuat kebaikan dan penegakkan kebaikan dan membenci kerusakan
dan pendokong kerusakan…
وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَفَسَدَتِ الأَرْضُ وَلَكِنَّ اللَّهَ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْعَالَمِينَ
“Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat
manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. tetapi
Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam”. (Al-Baqarah:251)
Namun Allah memiliki dan menguasai kurnia ke atas manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
Marilah kita semua meyakini bahawa kegelapan dunia ini belum cukup
kuat untuk memadamkan cahaya lilin, bahkan lilin yang sederhana ini
mampu menghilangkan kegelapan yang pekat ini.
Begitu juga kita tidak boleh mengabaikan sebarang usaha yang tulus
yang diiringi dengan usaha yang jujur kerana sungai yang ada di dunia
adalah gabungan daripada titisan-titisan air hujan.
Untuk akhirnya kami sampaikan firman Allah.
إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
“Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya.
Sesungguhnya Allah telah Mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. (At-Thalaq:3)
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=64060&SecID=213
No comments:
Post a Comment