Kerajaan DAP Gagal Sedia Rumah Kos Rendah
KEPALA BATAS 24 Mei - Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa gagal melaksanakan prinsip keadilan sosial bagi menyediakan kemudahan rumah yang mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah di bahagian pulau di negeri ini.
Malah mereka juga dilihat tidak sensitif terhadap keperluan rumah kos
rendah bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah
sendiri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
berkata, biarpun negeri itu semakin menuju ke arah sebuah negeri maju
dan melahirkan golongan berpendapatan tinggi namun pada masa sama perlu
ada alternatif kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah
sendiri.
“Golongan berpendapatan tinggi pastinya ingin mendapatkan rumah-rumah
mewah yang dijual pada harga yang mahal namun kerajaan negeri juga
sepatutnya menyediakan rumah kos rendah bagi golongan bawahan.
“Apa yang pasti sekarang tiada istilah keadilan sosial di kerajaan
negeri Pulau Pinang kerana mereka seolah-olah meminggirkan golongan
berpendapatan rendah serta orang Melayu yang cuba dihalau secara
diam-diam,"
Katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan
perdana kepada penjawat awam Seberang Perai Utara di sini hari ini.
Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor mengulas mengenai
harga rumah yang terlalu mahal di bahagian pulau menyebabkan ramai orang
Melayu terpaksa berhijrah ke Seberang Perai
Tambahnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) menyedari hakikat itu dan
sentiasa mencari kaedah serta menyediakan alternatif kepada golongan
bawahan membeli rumah sendiri.
“Senario sekarang ini ramai orang Melayu terpaksa membeli rumah di
luar bahagian pulau termasuk Seberang Perai, Sungai Petani, Kulim dan
Parit Buntar.
“Oleh itu jika BN diberi peluang memerintah pastinya perkara itu
tidak akan berlaku dan lebih banyak rumah kos rendah akan dibina untuk
golongan bawahan ini," ujarnya.
Jelas Nor Mohamed lagi, sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan oleh
Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri bagi disalurkan kepada
Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang bagi merancang inisiatif
dalam isu perumahan dan hartanah.